Tarikh Serta Cara Lafaz Niat Puasa Asyura Dan Tasu’a

Kalendar Hijrah atau Kalendar Islam dimulakan dengan bulan Muharram pada tahun baru Islam seperti yang telah dipersetujui semasa pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab, khalifah kedua dalam pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin. Di dalam bulan ini terdapat salah satu hari yang dinamakan Hari Asyura yang jatuh pada 10 Muharram.

Bulan Muharram ini mempunyai kelebihan seperti yang telah dinyatakan dalam Al-Quran melalui firman Allah S.W.T bahawa ianya adalah salah satu daripada bulan haram. Rasulullah S.A.W. juga telah menerangkan melalui hadis sabda Baginda mengenai bulan- bulan haram yang terdiri daripada bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.

Bulan-bulan haram ini adalah bulan diharamkan untuk berperang dan juga diberikan kemuliaan dari segi diberi ganjaran besar dalam amal soleh yang dilakukan dalam bulan ini. Sebenarnya tiada amalan khusus yang digariskan dalam bulan-bulan haram ini seperti puasa dan solat tarawikh di bulan Ramadhan.

Namun begitu, memandangkan bulan Muharram antara bulan yang mulia di sisi Allah S.W.T. seharusnya kita menghormati dan melakukan serta mempertingkatkan amalan dan juga mencegah daripada melakukan kemungkaran. Antara amalan yang digalakkan kepada umat Islam untuk dilaksanakan sepanjang bulan Muharram termasuklah memperbanyakkan puasa sunat terutamanya pada Hari Asyura dan hari Tasu’a.

Cara Bacaan Niat Puasa Sunat Hari Asyura Dan Hari Tasu’a

Waktu Bacaan Lafaz Niat : Memandangkan puasa Hari Tasu’a dan Hari Asyura merupakan puasa sunat bukannya puasa wajib, maka bacaan lafaz niat boleh diucapkan bermula malam hari sehingga siang hari sebelum waktu tergelincirnya matahari atau sebelum waktu zuhur.

Umat Islam yang mahu berpuasa sunat di hari Asyura dan Tasu’a, berikut MYsumber sertakan lafaz niat puasa sunat di bulan Muharram dalam bahasa Rumi dan Arab

Cara Dan Lafaz Niat Puasa Sunat Tasu’a

  • نَوَيْتُ صَوْم تَاسُعَاء سُنَّة لله تَعَالى
  • Nawaitu Sauma Tasu’a Sunnatal Lillahita’ala
  • “Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Tasu’a Esok Hari Kerana Allah Ta’ala”

Tarikh Hari Tasu’a Di Malaysia

  • 9 Muharram 1446H / 15 Julai 2024 (Isnin)

Cara Dan Lafaz Niat Puasa Asyura

  • نَوَيْتُ صَوْم عشرسُنَّة لله تَعَالى
  • Nawaitu Sauma Asyura Sunnatal Lillahita’ala
  • “Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Asyura Esok Hari Kerana Allah Ta’ala”

Tarikh Hari Asyura Di Malaysia

  • 10 Muharram 1446H / 16 Julai 2024 (Selasa)

Fadilat Berpuasa Hari Asyura

Kelebihan berpuasa pada hari Asyura dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.

Daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

  • صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya. Riwayat Ibn Majah (1738)

Fadilat Berpuasa Hari Tasu’a

Tujuan berpuasa sunat pada hari Tasu’a adalah untuk membezakan amalan yang dilakukan kaum Yahudi iaitu berpuasa pada 10 Muharram sahaja.

Dan juga riwayat daripada Ibn Abbas R.A. beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:

  • صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا

Maksudnya: Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya. Riwayat Ahmad (2154)

Kita juga disunatkan berpuasa pada 9 Muharram (puasa tasu’a) atau 11 Muharram (Puasa Sunat Hari Ahada ‘A-syara) mengiringi 10 Muharram (puasa hari asyura)  untuk membezakan antara ibadah kita (puasa tasua dan asyura) dengan ibadah menjalankan puasa kaum Yahudi. Tarikh puasa 11 Muharram 1446H adalah pada hari Rabu, 17 Julai 2024.

Kongsi Artikel

MYredaksi

MYredaksi